Pengenalan

Dala’il ul-Khayrat (دلائل الخيرات) ialah himpunan salawat atau kiriman salawat dan salam ke atas Nabi sallallahu alaihi wa sallam.

Tajuk panjang kitab ini ialah Dala’il ul-Khayrat wa Shawariq ul-Anwar fi Dhikr al-Salat ‘ala al-Nabi al-Mukhtar (Petunjuk Kebaikan dan Kedatangan Cahaya yang Menyala dalam Peringatan untuk memohon Keberkatan ke atas Nabi pilihan).

Tidak lama selepas ia ditulis, kitab ini mendapat sambutan dunia Islam. Rumah-rumah mempunyai kitab ini, putera raja menukar salinannya yang dihias indah dan rakyat jelata menghargainya. Setiap orang yang membacanya mendapati bahawa keberkatan turun di mana sahaja ia dibaca.

Sesuai dengan perintah Ilahi: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat ke atas Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab, ayat 56).

Berjuta-juta umat Islam dari Timur ke Barat membacanya, secara bersendirian dan berkumpulan, di rumah-rumah dan masjid-masjid, sepenuhnya menghabiskan diri mereka dalam mendapat keberkatan ke atas Nabi yang dikasihi.

Sejarah

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari penulis, Imam al-Jazuli, pergi berwuduk di sebuah perigi berhampiran tetapi tidak menemui sebarang cara untuk menimba air itu. Seorang gadis muda melihatnya dan berseru, “Kamulah orang yang sangat dipuji, dan kamu tidak tahu cara untuk mendapatkan air dari perigi?”

Maka datanglah ia ke perigi itu dan meludah ke dalam air itu, yang menggenang hingga melimpah dan tumpah ke tanah. Imam al-Jazuli berwudhu, dan kemudian berpaling kepadanya dan berkata, “Ceritakan kepadaku bagaimana kamu mencapai peringkat ini.”

Dia berkata, “Dengan mengucapkan salawat ke atas orang yang diikuti haiwan-haiwan liar dengan penuh kasih sayang semasa dia berjalan di hutan sallallahu alaihi wa sallam.”

Imam al-Jazuli kemudian bernazar untuk mengarang kitab salawat ke atas Nabi sallallahu alaihi wa sallam yang kemudiannya dikenali sebagai Dala’il ul-Khayrat atau ‘Petanda Kebaikan.’

Pengarang

Pengarangnya ialah seorang sufi, wali, ulama Islam keturunan Nabi sallallahu alaihi wa sallam, Muhammad ibn Sulaiman al-Jazuli. Dilahirkan pada abad ke-9 Hijrah, beliau dibesarkan dalam kalangan Gazulah Berber di wilayah Sus di selatan Maghribi.

Selepas mempelajari al-Quran dan menimba ilmu tradisional Islam, beliau mengembara ke Fez di mana beliau bertemu dengan ulama pada zamannya seperti Ahmad Zarruq, dan Muhammad ibn ‘Abdullah Amghar, yang menjadi syeikhnya dalam tarekat atau jalan sufi.

Jalan kerohanian beliau telah menarik ribuan murid yang dibantu oleh kepopularan buku panduan salawat ke atas Nabi sallallahu alaihi wa sallam. Ini memberikan kesan yang luar biasa kepada masyarakat Maghribi.

Beliau mengajar pengikutnya salawat ke atas Nabi sallallahu alaihi wa sallam, kepupusan diri dalam cinta Allah dan rasul-Nya.

Beliau diberitahu oleh Nabi sallallahu alaihi wa sallam dalam mimpi, “Aku adalah kemuliaan para rasul kenabian, dan kamu adalah kemegahan para awliya.”

Cara membaca

Kitab himpunan salawat Dala’il ul-Khayrat ini boleh dibaca sekaligus kesemuanya setiap hari. Ia juga turut dibahagikan kepada 3 bahagian yang di namakan Thuluth dan juga dibahagikan kepada 4 bahagian yang dinamakan Rubu’.

Maka ia boleh dibaca sesuai dengan kemampuan masing-masing sama ada ingin menghabiskan keseluruhan kitab dalam masa satu hari, 3 hari atau 4 hari.

Ia juga turut dibahagikan agar ianya dapat dihabiskan dalam masa 7 hari (seminggu) yang dinamakan sebagai Hizib.

Kerana itu, ia dibahagikan kepada 8 Hizib. Adapun Hizib 8 dibaca pada hari pertama pada minggu yang seterusnya bersama Hizib 1.

Sebelum membaca Hizib 1 boleh dibaca Doa Pembukaan dan Doa Niat yang disertakan. Doa Niat juga boleh dibaca pada permulaan setiap hari di awal setiap Hizib.

  • Hari pertama: Doa Pembukaan, Doa Niat, Hizib 1
  • Hari kedua: Doa Niat, Hizib 2
  • Hari ketiga: Doa Niat, Hizib 3
  • Hari keempat: Doa Niat, Hizib 4
  • Hari kelima: Doa Niat, Hizib 5
  • Hari keenam: Doa Niat, Hizib 6
  • Hari ketujuh: Doa Niat, Hizib 7
  • Hari kelapan (hari pertama minggu seterusnya): Hizib 8, Doa Pembukaan, Doa Niat, Hizib 1