Pengenalan Pengarang Kitab Barakat Makkiyyah

Muqaddimah ini membincangkan mengenai kehidupan seorang yang sangat alim, yang memiliki kefahaman yang sangat luas, merupakan seorang muhaddiś yang agung, mufassir yang hebat, faqih yang sangat memahami hukum hakam,  sasterawan, pengarang dan penulis yang telah mengarang banyak kitab dan tulisan yang masyhur Syaikh Musa Ruhani Bazi rahimahullah dan juga tentang peninggalan ilmiah beliau yang berkekalan dan khidmat-khidmat beliau untuk agama.

Beliau ialah Allamah yang besar bahkan beliau ialah imam yang hebat. Jarang untuk mendapat orang seumpama beliau dalam sesuatu zaman. Beliau ialah raja dalam bidang penulisan dan syarahan. Beliau ialah satu tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah subhanahu wa ta’ala tanpa sebarang syak serta peribadi yang jarang-jarang wujud tandingannya sepanjang zaman tanpa ragu.

Kedudukan Beliau di sisi Allah SWT

Beliau ialah seorang yang sangat warak, bertakwa, zuhud terhadap dunia, seorang mujahid di jalan Allah subhanahu wa ta’ala, penghapus bid’ah, tidak takut cacian para pencaci dalam urusan agama Allah subhanahu wa ta’ala, memiliki karamah yang banyak. Kerana kesempitan ruang, kami hanya menyatakan sebahagian kecil daripadanya sahaja agar tuan-tuan dapat mengetahui setakat mana kedudukan yang tinggi dimiliki oleh Syaikh kita yang mulia ini di sisi Allah subhanahu wa ta’ala dan Rasul-Nya.

Antara karamah beliau, beliau ialah orang keempat dalam sejarah Islam yang tersebar dari kuburnya haruman yang suci iaitu haruman syurga. Kejadian itu berlaku setelah sempurna pengkebumian jenazah beliau yang suci maka keluarlah bauan kasturi dan ambar dari pusara beliau dan mula tersebar ke seluruh tanah perkuburan. Haruman itu masih wujud sehingga ke hari ini (iaitu sehingga ke hari Muqaddimah ini ditulis,) sedangkan telah berlalu tujuh bulan daripada kewafatan beliau.

Jika kamu pergi ke kubur beliau yang berada di Tanah Perkuburan Mayani Saheb Lahore kamu akan mencium bau yang wangi itu semerbak seperti atar dan ambar tersebar dari jasad beliau yang suci dan dari tanah kubur yang baik iaitu tanah kubur Syaikh kita yang mulia, Syaikh Musa Ruhani Bazi rahimahullah.

Antara karamah beliau juga ialah, pada suatu ketika Syaikh yang mulia telah pergi menunaikan haji ditemani oleh ahli keluarga beliau. Setelah selesai daripada amalan-amalan haji beliau telah berangkat ke Madinah bersama ahli keluarganya. Apabila Syaikh ul-Islam, Alim Rabbani Maulana Saʿid Ahmad Khan rahimahullah mengetahui tentang kedatangan Syaikh Bazi rahimahullah ke Madinah maka Syaikh Saʿid rahimahullah telah menyambut beliau dengan sambutan yang hangat dan menjemput Syaikh Bazi rahimahullah bersama keluarga ke suatu jamuan. Maka Syaikh Bazi rahimahullah menerima jemputan itu dan datang ke rumah Syaikh Saʿid rahimahullah bersama keluarganya sebagaimana yang dijanjikan.

Apabila Syaikh Bazi rahimahullah menemui Syaikh Saʿid rahimahullah maka Syaikh Bazi rahimahullah terus duduk di sisi Syaikh Saʿid rahimahullah. Ketika salah seorang daripada orang-orang yang duduk bersama Syaikh Saʿid rahimahullah dalam majlis itu melihat Syaikh Bazi rahimahullah, terus orang itu bangun dengan segera menuju ke arah Syaikh Bazi rahimahullah lalu memegangnya, memeluknya, menciumnya, bersalaman dengannya dan memuliakannya dengan sebenar-benar kemuliaan.

Kemudian lelaki itu berkata, “Tuan Syaikh yang mulia, saya memohon daripada tuan dengan penuh adab dan penghormatan agar Syaikh memaafkan saya.”

Syaikh Bazi rahimahullah menjadi hairan dengan sambutan lelaki itu yang berlebihan, penghormatannya kepada Syaikh serta permohonan kemaafannya daripada Syaikh maka Syaikh Bazi rahimahullah pun bertanya kepadanya, “Atas hal apakah aku perlu memaafkan kamu sedangkan engkau tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan daku dan aku pun tidak mengenalimu. Apakah sebab sebenarnya?”

Lelaki itu menjawab, “Wahai Syaikh yang mulia, tuan maafkan saya terlebih dahulu kemudian baru saya akan beritahu apakah sebab saya meminta maaf.”

Lantas Syaikh rahimahullah terus tersenyum sebagaimana kebiasaannya sambil menjawab dengan lemah lembut, “Saya telah maafkan kamu.”

Maka lelaki itu menjadi sangat gembira sehingga wajahnya berseri-seri lalu berkata, “Wahai Syaikh, sekarang saya akan nyatakan sebabnya. Dengan kurniaan Allah I dan kemurahan-Nya saya di kurniakan nikmat dapat tinggal di bumi Madinah yang suci ini. Sebahagian teman-teman saya telah memberitahu tentang kedudukan tuan yang tinggi dan keperibadian tuan yang mulia di medan ilmu, penulisan, pengajaran, dakwah dan tarbiah maka saya menjadi sangat rindu untuk berjumpa dan melihat tuan. Minggu lepas, saya telah masuk ke masjid Nabawi bersama beberapa orang teman saya. Lantas salah seorang teman saya itu telah nampak tuan lalu memberi khabar gembira kepada saya dengan berkata bahawa lelaki yang kacak itulah Syaikh Bazi yang mulia yang kamu rindu untuk melihat dan berjumpa dengannya. Lalu saya pun pergi untuk melihat tuan dan pada masa itu tuan sedang sibuk bersolah sunat. Apabila saya tumpukan pandangan dan perhatian saya kepada tuan maka saya nampak pakaian tuan yang hebat dan serban tuan yang putih besar lalu terlintas di hati saya bahawa pakaian yang mahal ini tidak layak untuk para ahlullah dan ulama yang besar. Maka saya tidak suka untuk pergi bersalaman dengan tuan malah saya terus pulang ke rumah. Pada malam itu saya telah bermimpi melihat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam datang kepada saya lalu memarahi dan memberi amaran kepada saya sambil berkata, “Adakah kamu bersangka buruk terhadap Musa?! Keluar kamu segera dari Madinah ini.” Terus saya tersedar daripada tidur dalam keadaan terkejut dan takut dan saya telah berusaha untuk menemui tuan namun saya tidak berjaya kecuali sekarang ini. Lantaran itulah saya bersegera memohon ampun dan maaf daripada tuan terhadap sangkaan dan prasangka buruk terhadap tuan itu.”

Semoga Allah subhanahu wa ta’ala merahmati beliau dengan rahmat-Nya yang luas dan menempatkan beliau di keluasan syurga Firdaus-Nya dan semoga Allah subhanahu wa ta’ala memberi balasan kepada beliau dengan sebaik-baik balasan bagi pihak agama Islam dan kaum Muslimin keseluruhannya atas apa-apa yang Syaikh rahimahullah hulurkan kepada umat daripada pemberian yang banyak di medan ilmu dan makrifah dalam usaha beliau untuk membantu agama Allah subhanahu wa ta’ala dan di jalan ilmu.

Kitab-Kitab Ilmiah Karangan Beliau

Syaikh Bazi rahimahullah merupakan seorang yang tunggal seumpamanya pada zamannya dan seorang yang jarang-jarang ditemui tandingannya sepanjang zaman. Beliau ialah lautan ilmu dan kemahiran yang tiada tandingannya. Sangat petah dan fasih dalam berbicara, pandai mengungkapkan syair-syair, terhimpun padanya ilmu naqli dan aqli.

Beliaulah yang mengeluarkan istinbat dan mereka ilmu jalalah. Beliau ialah orang yang tiada tandingan daripada orang sezaman dengannya. Beliau tergolong daripada cendekiawan alam. Beliau mengarang banyak kitab yang tiada tolok bandingnya yang merangkumi perkara-perkara hakikat yang halus, dalam, aneh, terperinci serta menghuraikan masalah-masalah yang tersendiri, perbahasan-perbahasan yang baru, istinbat-istinbat yang hebat, rahsia-rahsia ilmiah yang tersembunyi yang menunjukkan keistimewaan dan kebijaksanaan beliau.

Imam Masjidil Haram Sohibul Faḍilah Syaikh Muhammad bin ʿAbdullah Subayyil rahimahullah sentiasa memuji Syaikh Bazi rahimahullah dalam majlis-majlis ilmunya. Pada suatu ketika, beliau telah dikunjungi oleh rombongan ulama dari Jamiah Asyrafiah. Syaikh Muhammad ʿAbdullah rahimahullah telah bertanya mereka tentang Syaikh Bazi rahimahullah. Maka para ulama itu menjadi hairan bagaimana Syaikh Muhammad ʿAbdullah boleh mengenali seorang alim yang bukan Arab.

Lantaran itu Syaikh Muhammad bin ʿAbdullah rahimahullah menjelaskan, “Ramai ulama dan masyaikh dari seluruh alam datang kepada saya. Namun saya tidak pernah lihat dan tidak pernah berjumpa seseorang alim yang lebih luas ilmunya dan lebih dalam pandangannya daripada Syaikh Bazi.”

Bilangan kitab karangan Syaikh Bazi rahimahullah dalam medan ilmiah tersangat banyak sehingga melebihi 200 buah kitab mengenai ilmu-ilmu yang berbeza dan bidang yang berbagai-bagai seperti tafsir, hadiś, mantiq, falsafah, sorof, nahu, balaghah, ilmu falak yang lama dan moden, semua cabangan ilmu bahasa Arab dan ilmu sejarah.

Suatu hakikat tentang Syaikh Bazi rahimahullah yang dipersetujui oleh semua orang ialah Syaikh Bazi rahimahullah tidak meninggalkan satu bidang daripada bidang-bidang kemahiran dan tidak juga mana-mana ilmu daripada cabang-cabang ilmu kecuali beliau mengarang kitab atau risalah mengenai bidang atau ilmu itu yang menjadikan manusia kehairanan. Keadaan ini tidak berlaku kepada mana-mana alim yang lain daripada kalangan ulama zaman sekarang.

Kewafatan Beliau

Selepas bertarung dengan penyakit, Syaikh rahimahullah yang merupakan peribadi tunggal zamannya dan wahid dekadnya telah meninggalkan alam ini sewaktu solah asar petang Isnin. Beliau telah berjumpa Tuhannya dengan jiwa yang tenang pada 27 Jamadi Śāni tahun 1419 H. bersamaan 19 Oktober 1998 M pada waktu beliau berumur 63 tahun.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ٢٧ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً ٢٨ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ٢٩ وَادْخُلِي جَنَّتِي ٣٠ صدق اللّٰه العظيم

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan kamu reḍa dan direḍai. Maka masuklah dalam kalangan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Apabila mati seseorang anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara, 1. Sedekah jariah, 2. Anak soleh yang sentiasa mendoakannya 3. Ilmu yang dimanfaatkan.” (lihat Muslim: 1631)