Keterangan Pertama

Terdapat faḍilat yang besar dan martabat yang tinggi untuk orang-orang yang menyampaikan salawat dan salam kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam maka berbahagialah dan berbahagialah orang-orang yang telah memperbanyakkan salawat dan salam.

Memadai untuk mensabitkan faḍilat salawat dan salam bahawa sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala sendiri sentiasa menyampaikan salawat dan salam-Nya kepada Nabi-Nya sallallahu ‘alaihi wa sallam dan demikian juga para malaikat-Nya. Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala telah memerintahkan orang-orang mukmin dalam al Quran dengan berfirman,

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا ٥٦

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Keterangan Kedua

Para ulama berselisih pendapat mengenai hukum bersalawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Sebahagian daripada mereka berkata bahawa salawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah fardu secara menyeluruh tanpa ada had dan bilangan.

Sebahagian yang lain pula berkata bahawa fardu ke atas seseorang manusia untuk bersalawat sekali sepanjang hidupnya jika ia ada kemampuan. Imam Ibnu ʿAbd il-Bar rahimahullah berkata wajib bersalawat sekali seumur hidup sama ada dalam solat atau luar solat. Kedudukan salawat samalah seperti kalimah tauhid. Kata-kata ini juga dinukilkan daripada Imam Abu Hanifah rahimahullah sebagaimana telah disebutkan dengan jelas oleh Imam Abu Bakar ar-Razi rahimahullah.

Kenyataan wajib bersalawat sekali seumur hidup ini dinukilkan juga daripada Imam Malik, Sufian Śauri dan Imam Auzaʿi. Kerana sesungguhnya perintah (الأمر) yang mutlak yang disebut dalam ayat yang telah lalu tidak menuntut ‘takrar’ yakni pengulangan amalan yang diperintahkan. Hakikat amalan yang diperintahkan itu terhasil dengan dilakukan sekali sahaja dan itulah juga qaul (pendapat) jumhur ummat sebagaimana dinyatakan dalam kitab al-Qaul ul-Badiʿ (القول البديع) karangan Imam Sakhawi rahimahullah.

Imam Qurtubi rahimahullah dan Ibnu ʿAṭiyyah rahimahullah berkata bahawa bersalawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah wajib yakni sabit dan lazim pada setiap keadaan seperti wajibnya amalan-amalan sunat muakkadah yang seseorang itu tidak ada kelonggaran untuk meninggalkannya dan melalaikannya kecuali orang-orang yang kosong daripada kebaikan.

Imam Ṭahawi rahimahullah dan satu jemaah daripada ulama mazhab Hanafi dan Syafiʿi berkata bahawa salawat adalah wajib setiap kali seseorang itu mendengar nama Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam disebutkan atau seseorang itu sendiri menyebut nama Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Imam Ṭabari rahimahullah pula berkata bahawa salawat adalah daripada kalangan amalan yang mustahab secara mutlak dan beliau telah mendakwa ijmak ulama atas pendapat itu.

Pendapat yang paling mudah daripada semua pendapat dan merupakan pendapat yang paling baik dan juga pendapat yang pertengahan iaitu wajib bersalawat ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam disebutkan dalam mana-mana majlis pada kali yang pertama dan sunat untuk bersalawat sekiranya nama Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam diulang-ulangkan dalam majlis yang sama itu. Demikian dinyatakan dalam sebahagian daripada kitab-kitab syarah kepada kitab Hidayah dan Allamah al-Qari rahimahullah telah mentasrihkan yang demikian itu.

Keterangan Ketiga

salawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menghimpunkan keberkatan-keberkatan di dunia dan akhirat, yang zahir dan yang batin dalam harta dan juga di badan. Banyak hadiś yang menyatakan perkara itu. Ini ada beberapa hadiś yang diberkati. Kamu fikirkanlah dan renungilah hadiś-hadiś ini mudah-mudahan akan bertambah kegemaran kamu dan kecintaan kamu terhadap salawat dan salam.

Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesiapa yang bersalawat ke atasku sekali maka Allah subhanahu wa ta’ala akan bersalawat ke atasnya sepuluh kali.” (Muslim dan Tirmizi)

Sayyidina ʿAbdullah bin ʿAmr radhiyallahu ‘anhu berkata, “Sesiapa yang bersalawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sekali maka Allah subhanahu wa ta’ala dan para malaikat-Nya akan bersalawat ke atasnya 70 kali.” Diriwayat oleh Imam Ahmad rahimahullah dengan sanad yang hasan. Hadiś ini ialah hadiś mauquf pada hukum hadiś marfuʿ kerana tiada ruang untuk berijtihad dalam kandungan hadiś ini.

Sayyidina Anas radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda, “Sesiapa yang bersalawat kepadaku sekali maka Allah subhanahu wa ta’ala akan bersalawat kepadanya 10 kali, digugurkan 10 dosanya dan dinaikkan untuknya 10 darjat.” (Nasaʾi dan Ibnu Hibban dalam kitab sahih mereka)

Sayyidina Anas radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesiapa yang bersalawat kepadaku seratus kali maka Allah subhanahu wa ta’ala akan menulis di antara kedua-dua matanya kelepasannya daripada sifat munafik dan kelepasan daripada neraka dan pada hari kiamat Allah subhanahu wa ta’ala akan menempatkannya bersama para syuhada.” (Ṭobarani dalam Muʿjam Ausat)

Sayyidina ʿAli radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesiapa yang bersalawat kepadaku sekali maka Allah subhanahu wa ta’ala akan tulis pahala untuknya satu Qirat dan satu Qirat sama seperti gunung Uhud.” (ʿAbd ur-Razzaq)

Sayyidina Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesiapa yang bersalawat kepadaku maka aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat.” (Ibnu Syahin)

Sayyidina Jabir radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan hadiś Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, “Sesiapa yang bersalawat kepadaku seratus kali setiap hari maka Allah subhanahu wa ta’ala akan menunaikan seratus hajatnya, 70 hajat berkenaan akhirat dan 30 hajat berkenaan dunia. Hafiẓ Abu Musa Madini (Ibnu Mandah) rahimahullah berkata bahawa hadiś ini ialah hadiś gharib lagi hasan.

Sayyidina ʿAbdullah bin ʿAbbas radhiyallahu ‘anhuma berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesiapa yang berkata, Semoga Allah subhanahu wa ta’ala membalas Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan apa-apa yang layak baginya maka dia telah meletihkan 70 malaikat selama 1000 hari (untuk menulis pahala baginya).” (Abu Nuʿaim dll) Sementara ganti nama dalam perkataan ‘أهله’ (apa-apa yang layak baginya) boleh merujuk kepada Allah subhanahu wa ta’ala ataupun Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesiapa yang bersalawat ke atasku dalam sesebuah kitab maka sentiasalah para malaikat memohon istighfar untuknya selama mana namaku ada dalam kitab itu.” (Ṭobarani)

Sayyidina ʿAbdullah bin ʿUmar radhiyallahu ‘anhuma berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Hiaskanlah majlis-majlis kamu dengan salawat ke atasku kerana sesungguhnya salawat kamu itu akan menjadi nur untuk kamu pada hari kiamat nanti.” (Dailami dalam kitab Musnad Firdaus)

Saiyyidina ʿAbdullah bin Busr radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Semua doa terhijab daripada diterima sehingga doa itu dimulakan dengan puji kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan salawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam kemudian seseorang itu berdoa barulah doanya itu akan diterima.” (Nasaʾi)

Sayyidina Jabir radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Layak untuk seseorang itu dikatakan bakhil bahawa namaku disebutkan di hadapannya namun dia tidak bersalawat ke atasku.” (Dailami)

Sayyidina ʿAbdullah bin Jarad radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tunaikanlah amalan-amalan yang fardu kerana sesungguhnya ganjarannya lebih besar daripada 20 kali berperang fi sabilillah. Sedangkan pahala bersalawat ke atasku menyamai semua amalan itu.” (Dailami dalam Musnad Firdaus)

Sayyidina Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Perbanyakkanlah bersalawat ke atasku setiap hari Jumaat kerana sesungguhnya salawat umatku dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Sesiapa yang lebih banyak salawatnya kepadaku maka kedudukannya akan lebih hampir denganku.” (Baihaqi dengan sanad yang hasan)

Sayyidina Anas radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Bersalawatlah oleh kamu semua ke atasku kerana sesungguhnya salawat ke atasku akan menjadi kifarah untuk dosa-dosa kamu dan perantaraan untuk pertambahan harta dan kesucian hidup. Sesiapa yang bersalawat ke atasku sekali maka Allah subhanahu wa ta’ala akan bersalawat kepadanya sepuluh kali.” (Demikian ditulis dalam kitab al-Qaul ul-Badiʿ)

Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Bersalawatlah oleh kamu ke atasku kerana sesungguhnya salawat ke atasku akan menjadi sebab kesucian dan kesuburan harta kamu.” (Ibnu Abi Syaibah)

Di ketahui daripada kedua-dua hadiś ini salawat merupakan kifarah untuk dosa seseorang, pertambahan berkat untuk orang yang bersalawat dan kesucian daripada sifat-sifat yang keji.

Sayyidina Anas radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Apabila kamu lupa akan sesuatu maka hendaklah kamu bersalawat ke atasku lantas kamu akan mengingati perkara itu kembali Insya Allah. (Hadiś dikeluarkan oleh Abu Musa Madini rahimahullah dengan sanad yang daif demikian dinyatakan dalam kitab al-Qaul ul-Badiʿ)

Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, “Sesiapa yang bimbang bahawa dia akan jadi pelupa maka hendaklah dia memperbanyakkan salawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.” Hadiś ini telah dikeluarkan oleh Ibnu Basykawal rahimahullah dengan sanad yang terputus. Ini disebut oleh Allamah Sakhawi rahimahullah.

Telah zahir daripada dua hadiś yang terakhir di atas bahawa sesungguhnya bersalawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam akan menghilangkan sifat pelupa dan menambahkan kekuatan hafalan. Ini adalah satu manfaat yang besar. Tidak tersembunyi kepada orang-orang yang bijak pandai bahawa lupa ialah suatu penyakit yang dihidapi oleh ramai orang dan mereka memerlukan cara untuk menolak dan menghilangkannya. Lebih-lebih lagi para ulama dan pelajar agama yang sentiasa sibuk dengan menghafal ilmu dan maklumat. Mereka sentiasa mencurahkan usaha dan tenaga dalam melakukan amalan yang boleh menambahkan ingatan dan kekuatan hafalan. Oleh itu sesiapa yang ingin pengubati penyakit lupa yang dihidapinya maka hendaklah dia memperbanyakkan bersalawat dan salam kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Keterangan Keempat

Para ulama berselisih pendapat dalam hal apakah salawat kita bermanfaat kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam ataupun tidak? Ibnu Hajar rahimahullah telah berkata dalam kitab Durrul Manḍud, “Satu kumpulan ulama berkata faedah salawat hanyalah untuk orang yang bersalawat itu sahaja. Kerana salawat yang dia lakukan itu menunjuk kepada kesucian akidah, keikhlasan niat dan juga kasih sayang dan cintanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.”

Sebahagian ulama lain pula berkata bahawa tidak jauh dan tidak mustahil akan terhasil suatu bentuk manfaat untuk Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan salawat daripada seseorang yang bersalawat. Ini adalah kerana dalam salawat ada permintaan pertambahan darjat untuk Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Sedangkan tiada kesudahan untuk kurniaan Allah subhanahu wa ta’ala dan pemberian-Nya dan Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam pula sentiasa dalam keadaan bertambah hampir dengan Allah subhanahu wa ta’ala dan bertambah dalam tingkatan-tingkatan darjat kelebihannya. Maka tidak pelik jika Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam mendapat lebihan dan tambahan perkara itu dengan keberkatan salawat daripada umatnya.

Dalam kitab Mawahib Ladduniyyah, Imam Syafiʿi rahimahullah berkata tidak ada mana-mana amalan yang dilakukan oleh mana-mana umat ini kecuali Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam pasti menjadi sumber asalnya maka oleh kerana itu seluruh pahala orang-orang mukmin semua sekali termasuk dalam buku amalan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tambahan daripada ganjaran amalan Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri.

Keterangan Kelima

Ketahuilah bahawa walaupun penyebutan salam selepas menyebut salawat bukanlah suatu perkara yang mesti di sisi jumhur ulama sebagaimana yang telah dinyatakan dengan jelas oleh Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah namun meninggalkannya merupakan kurang adab dan asbab kerugian daripada mendapat keberkatan yang besar dan ganjaran yang banyak.

Sebagaimana telah dinyatakan oleh Imam Sakhawi rahimahullah dalam kitab Qaul Badiʿ yang diriwayatkan daripada Abu Sulaiman Muhammad bin Husain Harrani rahimahullah. Beliau berkata, “Aku telah berjumpa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dalam mimpi lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepadaku, “Apabila kamu menyebut namaku dalam hadiś lalu kamu telah bersalawat kepadaku kenapa kamu tidak berkata wa sallama sedangkan ia hanya empat huruf dan sebagai balasan kepada setiap huruf akan mendapat sepuluh hasanah jadi sebenarnya kamu telah meninggalkan 40 hasanah.”

Keterangan Keenam

Sepatutnya setiap orang yang menulis sesuatu penulisan menulis salawat dan salam kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam setiap kali dia menulis nama Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam dan jangan dia berpada dengan menyebut salawat dengan lidahnya sahaja, kerana sesungguhnya perbuatan menulis salawat dan salam itu akan menyebabkan ganjaran yang lebih besar dan lebih kekal.

Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesiapa yang bersalawat kepadaku dalam mana-mana kitab maka para malaikat akan sentiasa beristighfar untuknya selama mana namaku ada dalam kitab itu.” (Ṭobarani dalam Ausat dan juga al-Khatib dalam kitab Syaraf Ashab il-Hadiś sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini)

Dalam satu riwayat lain, “Sesiapa yang menulis dalam kitabnya ‘صلى الله عليه وسلم’ maka para malaikat sentiasa beristighfar untuknya selama mana lafaz itu ada dalam kitab tersebut.” (Qaul Badiʿ)

Keterangan Ketujuh

Para ulama telah bersepakat atas keharusan menyebutkan sayyid yang bermakna penghulu untuk Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan juga untuk setiap orang yang mulia yang merupakan pembesar sesuatu kaum.

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘أنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ…’ “Aku ialah penghulu seluruh anak Adam.”

Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda tentang Sayyidina Hasan radhiyallahu ‘anhu, “Sesungguhnya cucuku ini ialah sayyid yakni penghulu.”

Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda kepada orang-orang Ansar berkenaan Saʿad bin Muʿaz radhiyallahu ‘anhu, ‘قُومُوا لِسَيِّدِكُم…’ “Bangunlah kamu semua kepada penghulu kamu ini.”

Dinyatakan juga dalam hadiś riwayat Nasaʾi kata-kata Sahl bin Hunaif radhiyallahu ‘anhu kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, “Ya sayyidi.” (Wahai penghuluku) Ini dinyatakan dalam kitab ʿAmal ul-yaum wal-lailah.

Sayyidina ʿAbdullah bin Masʿud radhiyallahu ‘anhu membaca salawat, ‘اللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِ الْمُرْسَلِين’ sebagaimana dinyatakan dalam kitab Qaul Badiʿ.

Para ulama berselisih pendapat pada tambahan kata-kata orang yang bersalawat, ‘Sayyidina’. Majd Lughawi rahimahullah berkata bahawa dalam bersalawat tidak patut dikatakan Sayyidina kerana mengikut lafaz salawat sebagaimana yang diriwayatkan daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Sebahagian ulama yang lain pula berkata, ‘Menambahkan lafaz Sayyidina’ ialah beradab, memuliakan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan dituntut dari segi syarak. Sebahagian yang lain pula berkata, menyebut Sayyidina ialah mengambil jalan beradab manakala tidak menyebutnya ialah akur kepada keinginan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam maka menurut pendapat yang pertama, hukum menyebut ‘sayyidina’ ialah mustahab sementara menurut pendapat yang kedua menyebut ‘sayyidina’ ialah tidak mustahab. Kenyataan ini dinukilkan daripada Syaikh ʿIzz ud-Din ʿAbd us-Salam rahimahullah.

Imam Sakhawi rahimahullah berkata dalam kitab Qaul Badiʿ, “Dalam kata-kata orang yang bersalawat, ‘اللهم صل على سيدنا محمد’ ada keadaan menunaikan perintah yang kita telah diperintahkan dan juga perkhabaran tentang kedudukan sebenar Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan itu merupakan adab dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam maka ia lebih afḍal daripada tidak menyebut ‘sayyidina’.

Imam Ibnu Hajar (Makki) rahimahullah dalam kitab Durr Manḍud pula mengeluarkan fatwa bahawa lebih afḍal untuk menyebut ‘sayyidina’. Sedangkan Syaikh ul-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah pula memfatwakan lebih afḍal tidak menyebut ‘sayyidina’ kerana ia tidak disebut dalam salawat-salawat yang diriwayatkan daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan beliau telah membahaskan perkara ini dengan panjang lebar.

Khulasah daripada perbincangan kedua-dua pendapat yang berlawanan ini ialah hukum menyebut lafaz ‘sayyidina’ ini mudah sahaja dan ada keluasan dalam syarak mengenainya. Tidak menjadi kesalahan dari segi syarak untuk menyebut lafaz ‘sayyidina’ dalam salawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan tidak juga salah jika tidak menyebutnya. Ini adalah kerana ada sekumpulan ulama yang haq memegang setiap satu daripada kedua-dua pendapat itu. Maka tidak patut satu kumpulan berkeras atas pendapatnya dan tidak patut juga mereka berkeras dalam menentang pihak lawan.

Keterangan Kelapan

Para ulama berselisih pendapat apakah salawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam pasti diterima ataupun ia terbahagi kepada ada yang diterima dan ada yang tertolak sebagaimana seluruh amalan kebaikan yang lain. Sebahagian ulama berpendapat dengan pendapat yang kedua yakni ada salawat yang diterima dan ada yang ditolak sedangkan sebahagian yang lain berpegang dengan pendapat pertama. Sebahagian ulama berkata bahawa salawat pasti diterima dalam apa-apa keadaan pun daripada sesiapa sahaja sama ada dia membaca salawat dalam keadaan hadir hati ataupun dia membacanya dalam keadaan lalai. Ini adalah kerana dua hadiś yang telah disebut oleh sebahagian ulama.

Hadiś pertama, Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Amalan umatku telah dibentangkan kepadaku dan aku mendapati ada amalan yang diterima dan ada amalan yang ditolak kecuali salawat ke atasku.”

Hadiś kedua, Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Semua amal, ada yang diterima dan ada yang ditolak kecuali salawat ke atasku. Sesungguhnya ia diterima tiada yang ditolak.”

Pihak kedua menjawab bahawa hadiś pertama tertolak kerana ia tidak boleh diterima lantaran ia tidak mempunyai sanad. Hafiz Suyuṭi rahimahullah berkata dalam kitab Durar Muntasyirah Fi Ahadiś Musytahirah, saya tidak mengetahui sanad hadiś ini. Adapun hadiś yang kedua, Ibnu Hajar rahimahullah berkata bahawa ia adalah sebuah hadiś yang ḍaif. Demikian yang dinyatakan dalam kitab ‘Tamyiiz uṭ-Ṭoyyib min al-Khabiś.

Keterangan Kesembilan

Faedah dan kelebihan bersalawat kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak terkira dan tidak terhitung banyaknya. Kami sebutkan di sini beberapa faedah sebagai galakan kepada pembaca dan sebagai berita gembira kepada orang-orang yang suka bersalawat.

Faedah Pertama
Mentaati perintah Allah subhanahu wa ta’ala sekira-kira Allah subhanahu wa ta’ala telah perintahkan kita dalam al-Quran yang mulia agar kita bersalawat dan menghantarkan salam kepada Baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Faedah Kedua
Perbuatan kita bersalawat menyerupai perbuatan Allah subhanahu wa ta’ala dan para malaikat-Nya dalam bersalawat kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam kerana sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala telah berfirman dalam al-Quran bahawa Dia sendiri menghantar salawat dan salam kepada Nabi dan demikian juga para malaikat-Nya.

Faedah Ketiga
Orang yang bersalawat sekali di tempat-tempat selain daripada Tanah Haram Makkah dan Masjid Nabawi akan mendapat sepuluh kali salawat daripada Allah subhanahu wa ta’ala, sementara di Masjid Nabawi akan mendapat 50,000 kali dan di Tanah Haram Makkah 100,000 kali salawat daripada Allah subhanahu wa ta’ala.

Faedah Keempat
Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala mengangkat untuknya sepuluh darjat.

Faedah Kelima
Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala menulis untuknya sepuluh pahala.

Faedah Keenam
Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala menghapuskan daripadanya sepuluh dosa.

Faedah Ketujuh
salawat adalah asbab pengampunan dosa sebagaimana sabit dalam sebahagian riwayat.

Faedah Kelapan
Diharapkan penerimaan doanya apabila salawat dibacakan sebelum doa, maka salawat menaikkan sesuatu doa kepada Allah subhanahu wa ta’ala sedangkan ia terhenti antara langit dan bumi sebelum salawat dibacakan.

Faedah Kesembilan
salawat menjadi sebab Allah subhanahu wa ta’ala mencukupkan seseorang hamba dalam urusan-urusannya yang penting.

Faedah Kesepuluh
salawat menjadi asbab penghampiran seseorang hamba kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam pada hari kiamat nanti. Ia telah diriwayatkan dalam Hadiś Abdullah bin Masʿud radhiyallahu anhu.

Faedah Kesebelas
salawat boleh menggantikan sedeqah bagi orang miskin.

Faedah Kedua belas
salawat menjadi asbab tertunainya hajat.

Faedah Ketiga belas
salawat asbab penyucian dan pembersihan batin dan hati bagi orang yang bersalawat.

Faedah Keempat belas
salawat adalah asbab untuk seseorang hamba mendapat berita gembira syurga sebelum kematiannya. Ini disebutkan oleh Hafiz Abu Musa rahimahullah dalam kitabnya dan dia menyatakan satu hadiś sebagai dalil.

Faedah Kelima belas
salawat menjadi asbab keselamatan daripada huru hara hari kiamat. Ini disebut oleh Hafiz Abu Musa rahimahullah, dan dia menyebutkan satu hadiś sebagai dalilnya.

Faedah Keenam belas
salawat menjadi asbab Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab salawat seseorang itu.

Faedah Ketujuh belas
salawat adalah asbab seseorang itu dapat mengingatkan kembali sesuatu yang dia terlupa.

Faedah Kelapan belas
salawat menjadi asbab menghindarkan kefakiran sebagaimana diriwayatkan dalam sebahagian hadiś.

Faedah Kesembilan belas
salawat menyelamatkan daripada bau busuk majlis yang tidak disebutkan padanya nama Allah subhanahu wa ta’ala dan Rasul sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Faedah Kedua puluh
salawat adalah asbab untuk seseorang hamba mendapat nur yang banyak di titian sirat. Hafiz Abu Musa rahimahullah menyebutkan sebuah hadiś sebagai dalilnya.

Faedah Kedua puluh satu
salawat menjadi asbab mendapat rahmat Allah subhanahu wa ta’ala kerana rahmat boleh membawa makna salawat sebagaimana dinyatakan oleh segolongan ulama ataupun rahmat merupakan hasil yang pasti daripada salawat sebagaimana dikatakan oleh beberapa orang ulama. Balasan biasanya sama jenis dengan amalan maka orang yang bersalawat pasti mendapat rahmat sebagai balasan untuknya.

Faedah Kedua puluh dua
salawat adalah asbab berterusan cintanya kepada Nabi dan asbab bertambah cinta itu.

Faedah Kedua puluh tiga
Sesungguhnya salawat adalah sebab hidayat bagi seseorang hamba dan sebab bagi hidup hatinya.

Faedah Kedua puluh empat
salawat adalah asbab nama orang yang bersalawat disebutkan di sisi Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sebagaimana Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya salawat kamu dibentangkan kepadaku,” dan juga sabdaan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, “Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala melantik beberapa malaikat dikuburku yang akan menyampaikan kepadaku salawat dan salam daripada pihak umatku.” Cukuplah suatu kemuliaan bagi seseorang hamba bahawa namanya disebut-sebutkan dihadapan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Faedah Kedua puluh lima
salawat mengandungi zikrullah, syukur kepada Allah, pengiktirafan nikmat-nikmat-Nya ke atas hamba-hamba-Nya dengan mengutuskan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. salawat juga mengandungi sebutan nama Allah subhanahu wa ta’ala, sebutan Rasul-Nya, dan permintaan orang yang bersalawat agar Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dibalasi dengan salawatnya itu apa-apa yang layak bagi Baginda sebagaimana Baginda telah berusaha memperkenalkan kita kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan sifat-sifat-Nya dan memberi petunjuk kepada kita ke arah keredaan Allah subhanahu wa ta’ala.

Keterangan Kesepuluh

Wajib ke atas setiap orang beriman untuk memperbanyakkan bersalawat ke atas nabi sehingga bilangan salawatnya itu lebih banyak daripada bilangan doanya sehingga dia boleh memasuki syurga.

Hafiz Sakhawi rahimahullah telah menghikayatkan daripada sebahagian ulama bahawa dia telah melihat Abu Hafs Kaghadi rahimahullah dalam mimpi selepas beliau meninggal sedangkan beliau dulunya seorang ketua yang besar.

Hafiz Sakhawi rahimahullah telah bertanya, “Apakah yang Allah subhanahu wa ta’ala telah lakukan denganmu?”

Beliau menjawab, “Allah subhanahu wa ta’ala telah merahmatiku, mengampuni dosa-dosaku dan memasukan daku ke dalam syurga.”

Ditanyakan kepadanya, “Dengan sebab apa?”

Beliau menjawab, “Apabila aku berdiri dihadapan-Nya, maka Allah subhanahu wa ta’ala telah memerintahkan para malaikat lalu mereka menghitung dosa-dosaku dan juga salawatku ke atas Baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam lalu mereka mendapati salawatku lebih banyak lantaran itu Allah subhanahu wa ta’ala berfirman kepada mereka, “Cukuplah kamu wahai para malaikat-Ku, janganlah kamu menghisabnya dan bawalah dia ke syurga-Ku.”

(Qaul Badiʿ)