Adab Bersalawat

Ḥakimul Ummah Mujaddid Millah Maulana Asyraf Ali Thanawi rahimahullah ta’ala (semoga Allah merahmatinya) telah mendedikasikan satu bab dalam Zād al-Sa īd kepada pelbagai adab bersalawat.

1) Ketika menulis nama Nabi (sallallahu ’alaihi wassalam), salawat dan salam hendaklah ditulis dengan lengkap. Kemalasan tidak sepatutnya ditunjukkan dalam perkara ini; seseorang tidak sepatutnya cukup dengan menulis ṣād atau ṣalam.

2) Seseorang pernah menulis hadis tetapi tidak menulis salawat ketika menulis nama Nabi yang mulia (sallallahu ’alaihi wassalam) kerana kebakhilan. Sebagai akibatnya, tangannya diserang penyakit, menyebabkan tangannya menjadi lumpuh.

3) Syaikh Ibnu Ḥajar Makkī (semoga Allah merahmatinya) telah meriwayatkan bahawa seseorang hanya menulis ṣallallāhu alayhi tanpa menulis wasallam.

Nabi yang mulia (sallallahu ’alaihi wassalam) berkata kepadanya dalam mimpi, “Mengapa kamu menghalang dirimu daripada mendapat empat puluh kebajikan?”

Dalam kata lain, perkataan wasallam terdiri daripada empat huruf dan pada setiap huruf, seseorang menerima sepuluh ganjaran; wasallam itu terdiri daripada empat puluh kebaikan.

4) Apabila membaca salawat, adabnya badan dan pakaian hendaklah dalam keadaan suci dan bersih.

5) Menambahkan gelaran Sayyidinā sebelum nama Rasulullah (sallallahu ’alaihi wassalam) adalah perbuatan yang diberkati dan terpuji serta lebih mulia.

Adab Bersalawat2022-08-31T04:30:39+00:00

Riwayat-Riwayat Sahih Berkenaan Lafaz salawat

Lafaz bacaan salawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ya Tuhan kami, salawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
(Nasai: 1292)

Riwayat-riwayat sahih yang lain

1. Dari Ka’ab bin ‘Ujrah radhiyallahu ‘anhu,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah salawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah bersalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
(Bukhari dan Muslim)

2. Dari Abu Humaid As Saa’diy radhiyallahu ‘anhu,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah,berilah salawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah bersalawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
(Bukhari dan Muslim)

3. Dari Abi Mas’ud Al-Ansori radhiyallahu ‘anhu,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah salawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah bersalawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
(Muslim)

4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori radhiyallahu ‘anhu (jalan kedua),

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah salawat kepada Muhammad nabi yang ummi dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi salawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
(Abu Daud: 981)

5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ.

“Ya Allah berilah salawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah bersalawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim.”
(Bukhari)

6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah salawat kepada Muhammad dan kepada ahli baitnya (keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah bersalawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
(Ahmad)

7. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ وبَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah salawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah bersalawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
(At-Tohawi dalam “Musykil al-Athar” 3/75, Nasai dalam “Amalul Yaum wal Lailah” no.47)

8. Dari Tolhah bin Ubaidullah radhiyallahu ‘anhu,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah salawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah bersalawat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
(Ahmad)

Riwayat-Riwayat Sahih Berkenaan Lafaz salawat2022-04-09T06:18:51+00:00

Penerangan Ringkas Tentang salawat

Definisi salawat

salawat berasal dari bahasa Arab: الصلوات diambil dari perkataan solat (الصلاة‎) yang bererti doa atau pujian.

salawat Allah subhanahu wa ta’ala ialah pujian-Nya di sisi para malaikat.

Makna salawat dari Allah subhanahu wa ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan dari-Nya.
(Lihat kitab Zadul Masir, 6/398)

Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik dari Allah subhanahu wa ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya dari kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا

Terjemahan: Dialah yang bersalawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.
(Surah Al-Ahzab, ayat 43)

salawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.

salawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah subhanahu wa ta’ala melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Anjuran Membaca salawat Ke Atas Nabi

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam). Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.
(Surah Al-Ahzab, ayat 56)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ

“Sesiapa yang mengucapkan salawat kepadaku satu kali maka Allah akan bersalawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”
(Nasai, Ahmad)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak bersalawat”.
(Tirmizi)

Waktu Afdal Bersalawat

Masa paling afdhal dituntut bersalawat ialah:

  • Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.
  • Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
  • Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
  • Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
  • Di akhir qunut dalam solat.
  • Di dalam solat jenazah.
  • Ketika masuk dan keluar dari masjid.
  • Setiap waktu pagi dan petang.
  • Hari Khamis malam Jumaat.
  • Sepanjang hari Jumaat.
  • Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.

Demikianlah perbincangan ringkas tentang lafaz salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam yang dapat dikumpulkan, berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Sebagai panduan untuk beramal dengan Sunnah dan salawat yang mempunyai kekuatan sanad yang benar dan sahih daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Banyak bersalawat kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam, kerana para ulama’ mengatakan:

“Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”

Semoga kita sentiasa dapat melazimi bersalawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Amin.

Penerangan Ringkas Tentang salawat2022-04-09T06:24:38+00:00
Go to Top