Definisi salawat

salawat berasal dari bahasa Arab: الصلوات diambil dari perkataan solat (الصلاة‎) yang bererti doa atau pujian.

salawat Allah subhanahu wa ta’ala ialah pujian-Nya di sisi para malaikat.

Makna salawat dari Allah subhanahu wa ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan dari-Nya.
(Lihat kitab Zadul Masir, 6/398)

Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik dari Allah subhanahu wa ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya dari kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا

Terjemahan: Dialah yang bersalawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.
(Surah Al-Ahzab, ayat 43)

salawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.

salawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah subhanahu wa ta’ala melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Anjuran Membaca salawat Ke Atas Nabi

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam). Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.
(Surah Al-Ahzab, ayat 56)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ

“Sesiapa yang mengucapkan salawat kepadaku satu kali maka Allah akan bersalawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”
(Nasai, Ahmad)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak bersalawat”.
(Tirmizi)

Waktu Afdal Bersalawat

Masa paling afdhal dituntut bersalawat ialah:

  • Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.
  • Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
  • Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
  • Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
  • Di akhir qunut dalam solat.
  • Di dalam solat jenazah.
  • Ketika masuk dan keluar dari masjid.
  • Setiap waktu pagi dan petang.
  • Hari Khamis malam Jumaat.
  • Sepanjang hari Jumaat.
  • Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.

Demikianlah perbincangan ringkas tentang lafaz salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam yang dapat dikumpulkan, berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Sebagai panduan untuk beramal dengan Sunnah dan salawat yang mempunyai kekuatan sanad yang benar dan sahih daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Banyak bersalawat kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam, kerana para ulama’ mengatakan:

“Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”

Semoga kita sentiasa dapat melazimi bersalawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Amin.