إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya bersalawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
(Surah al-Ahzab: ayat 56)
Barakat Makkiyyah adalah kitab himpunan salawat dengan 805 nama-nama Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam. Dikarang oleh Syaikh Musa Ruhani Bazi rahimahullah. Iaitu seorang yang sangat alim, yang memiliki kefahaman yang sangat luas, merupakan seorang muhaddiś yang agung, mufassir yang hebat, faqih yang sangat memahami hukum hakam, sasterawan, pengarang dan penulis.
Dala’il ul-Khayrat ialah himpunan salawat atau kiriman salawat dan salam ke atas Nabi sallallahu alaihi wa sallam, karangan Imam al-Jazuli rahimahullah. Tajuk panjang kitab ini ialah Dala’il ul-Khayrat wa Shawariq ul-Anwar fi Dhikr al-Salat ‘ala al-Nabi al-Mukhtar (Petunjuk Kebaikan dan Kedatangan Cahaya yang Menyala dalam Peringatan untuk memohon Keberkatan ke atas Nabi pilihan).
Ratib Al-Haddad ini mengambil nama sempena nama penyusunnya, iaitu Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad, seorang pembaharu Islam (mujaddid) yang terkenal. Daripada doa-doa dan zikir-zikir karangan beliau, Ratib Al-Haddad lah yang paling terkenal dan masyhur. Kitab Ratib Al-Haddad ini disusun berdasarkan inspirasi, pada malam Lailatul Qadar 27 Ramadan 1071 Hijriah (bersamaan 26 Mei 1661).
“Saya jadikan seluruh masa saya untuk bersalawat kepada tuan.”
Sayyidina Ubai bin Kaʿab radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa apabila berlalu dua pertiga malam Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam akan bangun (untuk tahajud) dan akan berkata kepada orang ramai, “Wahai manusia, ingatilah Allah subhanahu wa ta’ala, ingatilah Allah subhanahu wa ta’ala. Telah sampailah perkara yang menggoncangkan dan telah sampai juga perkara yang mengiringinya (maksudnya ialah masa tiupan sangkakala yang pertama dan selepasnya tiupan sangkakala yang kedua sudah hampir). Maut berserta segala kedahsyatannya telah datang. Maut berserta segala kedahsyatannya telah datang.”
Lantaran itu Sayyidina Ubai radhiyallahu ‘anhu berkata, “Ya Rasulullah, saya ingin memperbanyakkan salawat kepada tuan. Daripada masa saya berzikir dan berdoa, sebanyak manakah masa yang patut saya tetapkan untuk saya bersalawat kepada tuan?” Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sebanyak yang hati kamu inginkan.”
Saya bertanya lagi, “Ya Rasulullah, satu perempat?” Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sebanyak yang kamu inginkan. Sekiranya kamu tambah maka itu lebih baik kepada kamu.”
Saya berkata lagi, “Jika separuh?” Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sebanyak yang kamu inginkan, jika kamu tambah lagi maka itu adalah lebih baik untuk kamu.”
Saya berkata lagi, “Jika dua pertiga?” Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sebanyak yang kamu suka. Jika kamu tambah lagi maka itu lebih baik bagi kamu.”
Saya pun berkata, “Jika demikian, saya jadikan seluruh masa saya untuk bersalawat kepada tuan.” Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika kamu lakukan demikian maka Allah subhanahu wa ta’ala akan hapuskan segala kerisauan kamu dan Allah subhanahu wa ta’ala akan ampunkan segala dosa kamu.” (Tirmiżi)
Kitab Barakat Makkiyyah adalah kitab himpunan salawat karangan Syaikh Musa Ruhani Bazi rahimahullah. Kitab yang penuh keberkatan ini menghimpunkan sebanyak 805 nama-nama Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.
Pengarang kitab ini, Syaikh Musa Ruhani Bazi rahimahullah adalah seorang yang sangat alim, yang memiliki kefahaman yang sangat luas, merupakan seorang muhaddiś yang agung, mufassir yang hebat, faqih yang sangat memahami hukum hakam, sasterawan, pengarang dan penulis yang telah mengarang banyak kitab dan tulisan yang masyhur.
Beliau ialah Allamah yang besar bahkan beliau ialah imam yang hebat. Jarang untuk mendapat orang seumpama beliau dalam sesuatu zaman. Beliau ialah raja dalam bidang penulisan dan syarahan.
Antara karamah beliau, beliau ialah orang keempat dalam sejarah Islam yang tersebar dari kuburnya haruman yang suci iaitu haruman syurga. Kejadian itu berlaku setelah sempurna pengkebumian jenazah beliau yang suci maka keluarlah bauan kasturi dan ambar dari pusara beliau dan mula tersebar ke seluruh tanah perkuburan sehingga berlalu tujuh bulan daripada kewafatan beliau.
Dapatkan kitab himpunan salawat ini untuk dijadikan amalan harian. Pembahagian kitab ini amat mudah untuk diamalkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sudah terlalu ramai orang yang merasai keberkatan daripada amalan pembacaan salawat melalui kitab ini.
Salawat 80 kali selepas Asar hari Jumaat
Pertubuhan Amal Darul Ulum membuka peluang infaq kepada seluruh umat Islam untuk menjalankan projek mencetak poster salawat 80 kali Asar hari Jumaat.
Poster bersaiz A1 (59cm x 84cm) ini dicetak dan diberikan dengan infaq RM10 untuk sekeping poster kepada umat Islam yang ingin sama-sama menghidupkan amalan ini. Ia boleh ditampal di Masjid, Surau, rumah, pejabat dan lain-lain tempat yang sesuai dengan tujuan untuk memberi kesedaran tentang fadilat amalan salawat 80 kali Asar hari Jumaat ini.
Bayangkanlah fadilatnya iaitu menghapuskan dosa 80 tahun dan mendapat ganjaran 80 tahun ibadat. Jika amalan ini hidup di dalam diri umat Islam asbab perkongsian poster yang kita sumbangkan maka ganjaran yang sama akan kita perolehi.
Sebarang sumbangan dari pihak kita sama ada dari segi infaq kewangan atau perkongsian poster tersebut akan menjadi asbab hidupnya amalan ini dan asbab ganjaran pahala berganda kepada kita.